Sunday 3 May 2015

Bersangka baik

Assalamu'alaikum sahabat semuannya
Moga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.


Tempoh praktikum fasa satu semakin ke penghujungnya.
Satu perkara yang aku pelajari bersama kanak-kanak ribena yang masih suci murni di sekolah itu,
adalah baik sangka.

Selalu sahaja, sebaik keluar daripada kelas setelah sesi PdP, terasa bertambah kedut-kedut di muka. Dada berombak. Ada yang terlupa membawa buku latihan. Ada yang tidak menulis dengan alasan tidak punya pensel. Ada yang tidak menyiapkan kerja rumah dengan alasan terlupa. Aduh....pening kepala.
Ya Allah! Bantulah hamba-Mu..

Namun seperti yang pernah ku kongsikan sebelum ini. Mungkin mereka penyebab ke syurga. Maka sabar. Telan semua. Cari penyelesaiannya. Dan tambah lagi satu perkara, baik sangka.
Suka aku kongsikan dengan kalian kuasa berbaik sangka.



Hari itu, wajahku sukar untuk tersenyum. Semua markah peperiksaan percubaan PMR telah diperolehi. Keputusannya kurang memuaskan. Seperti biasa, gred matapelajaran Matematik dan Sains antara yang terendah. Namun kalam mak menyuntik motivasi dalam diri.
"Tak pa. Mak tau Mardhiah mulanya begini. Nanti bila peperiksaan sebenar mesti boleh dapat lebih cemerlang".
Abah juga sama.
Sangka baik mereka menjadikan aku percaya yang aku mampu lakukan lebih baik. Allhamdulillah sangka baik mereka termakbul jua.



Perkara yang sama, aku terapkan pula empat tahun yang lalu.
Sewaktu aku sedang bergegas ke kuliah bahasa Arab, satu pesanan ringkas kuterima. Isinya menyesakkan dada. Lalu langkah ke dewan kuliah menjadi lemah tak bermaya. Mesej itu menyatakan rayuanku untuk mengikuti program ijazah perguruan di IPG diterima. Saat hati ini sudah mula jatuh cinta dengan biah di sini.
Namun kuasa baik sangka membawa aku di bumi aku berpijak kini. Di jalan ini. 



Makanya kini, perkara yang sama juga harus aku terapkan dalam mendidik murid-murid. Berusaha sedaya upaya berbaik sangka dengan mereka. Bahawa mungkin sahaja kini mereka lupa, nakal, tidak mendengar kata dan banyak kenakalan lain lagi. Tetapi boleh jadi bila mereka dewasa kelak mampu menjadi berkali ganda lebih baik dari masa kini. Bahkan lebih baik dari diri ini.


Sangka baik itu satu doa.
Melalui sangka baik, si pemuda mati dalam perjalanan taubatnya.
Melalui sangka baik, Khadijah menenangkan Rasulullah s.a.w yang dalam ketakutan
Melalui sangka baik, sang Umar menjadi pejuang Islam.
Bahkan mungkin,
melalui sangka baik seseorang di luar sana yang tidak putus mendoakan kita,
telah menyebabkan Allah memberi keizinan untuk kita melakukan kebaikan pada hari ini.

Payah. Memang bukan mudah untuk berbaik sangka. Tetapi mesti ada usaha!
Akhir kalam, berusahalah mencari kebaikan dalam diri seseorang. Keluarkan kebaikan tersebut dengan dorongan dan percaya, suatu hari insyaaAllah pasti bertemu hasilnya.

#catatanomelanuntukdiri
#jadicikgubukansekadarmakangaji

Friday 17 April 2015

Alahai Ostajah

Assalamu'alaikum sahabat sekalian,
Subhanallah
Sekarang  terasa sudah penat lelah jadi guru


Minggu ini merupakan minggu pertama ku berpraktikum...
MasyaaAllah.
Allah s.w.t sahaja tahu. Macam-macam perasaan ada.
Lucu, sedih, geram, marah, pening kepala dengan karenah murid-murid.

Ada murid yang terlalu pandai.
Ada murid yang terlalu lemah.
Ada yang kemas.
Ada yang selekeh.
Ada yang sangat aktif bergerak sana sini.
Ada yang sangat blur. Mindanya entah ke mana.
Ada  yang banyak cerita.
Ada yang diam sahaja.
Apa jua keadaan mereka, harus terima seadanya.
Kerana siapa tahu, mungkin mereka menjadi penyebab kita ke syurga-Nya.

Berdasarkan pemerhatian aku dan apa yang aku pelajari dalam kuliah, setiap tingkah laku kanak-kanak pasti ada sebabnya. Makanya, apa jua karenah mereka perlu dihadam dan dikaji puncanya. Setelah tahu puncanya barulah guru mampu mengatasi karenah yang pelbagai itu. Apabila dikaji latar belakang murid-murid, hilang seketika marah pada kenakalan mereka. Mereka hadir dari pelbagai latar belakang keluarga. Simpati pula pada mereka yang baru mahu kenal dunia. Makanya, ditelan sahaja itu semua. Dan harus pantas mencari penyelesaiannya!

Ha..itu baru seminggu. Mengingatkan diri ini bakal bergelar guru seumur hidup (?). Alahai. Namun kalam Allah s.w.t juga menjadi pengubat lelah.

“Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang terbaik iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah ta’ala dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (di dalam masa sedih dan senang).” (Surah Al-Ahzab:Ayat 21)

Moga Allah beri kekuatan untuk mencontohi kekasih-Nya, Nabi Muhammad S.A.W. Guru yang super duper terhebat.

Subhanallah.
Pilu bila terkenang pengorbanan Baginda s.a.w menahan sabar mendidik umatnya. Biar dimaki, senyum tidak lekang dari bibir. Kisah bagaimana Baginda mendidik seorang badwi yang kencing di dalam masjid. Kisah bagaimana Baginda menahan sabar sewaktu di baling batu. Kisah bagaimana Baginda menyantuni mereka yang banyak tanya.

Memang bukan mudah menggalas tanggungjawab menjadi pewaris Nabi. Memanusiakan manusia. Membawa manusia kenal pencipta-Nya.
Allah.. berat tanggungjawab itu.
Mohon doa sahabat semua ya.




#Be strong ostajah!!!!


Friday 3 April 2015

I am not Single!

Assalamu'alaikum teman-teman,
Segala puji hanya bagi Allah yang menggerakkan hati dan jari-jemari ini untuk perkongsian kali ini.

Cuti persekolahan bulan mac tempoh hari agak kalut sikit. Hampir setiap hari ada kenduri. Sibuk mengurus majlis nikah abang lagi. Alhamdulillah my one and only brother finally met her queen. Semoga menjadi suami dan abah yang soleh. hee...

Tiba-tiba teringin nak ada cincin pula. Uhuk
 

Ek eleh, cik Mardhiah ni, bukan dia yang kahwin. Habis tajuk tu tentang apa la...

Teringat aku pada soalan yang pernah dilontarkan oleh seorang pensyarahku,
"Apa kriteria lelaki idaman kamu?" rakan-rakan yang lain menyebut-nyebut namaku, lantas semua mata tertancap ke arah ku. Bilik kuliah sepi seketika. Dan aku dengan selamba menjawab,
"Entah. Saya malas fikirla encik.."

malas?!!


Bukan malas fikir. Padaku banyak prioriti di usia muda selain memikirkan soal jodoh.

Aku masih teringat ceramah oleh seorang syeikh, katanya waktu single adalah masa untuk berbakti kepada ibu bapa sebanyak-banyaknya. Cuba anda fikir. Apabila seseorang sudah menjalani kehidupan berumah tangga, masanya akan lebih tertumpu pada keperluan pasangan dan anak-anaknya. Kalau waktu single jarang menelefon ibu bapa, apatah lagi sewaktu berumahtangga bukan?

Waktu single juga masanya kita sehabis daya menuntut ilmu. Kerana pada waktu itu masih tiada komitmen yang banyak. Seringkali aku mendengar nasihat agar menuntut ilmu hingga ke peringkat tinggi sementara tiada banyak komitmen. Penuhi dada sebanyaknya dengan ilmu. Kalau waktu single malas ke majlis ilmu, apa pula jadinya bila bergelar ibu bapa?

Waktu single juga masanya beramal semaksimum mungkin. Solat fardhu dimantapkan, solat sunat diamalkan, kerja-kerja dakwah dibudayakan. Eheh. Kerana berdasarkan pemerhatian dan ditambah pula kisah insan disekelilingku, sememangnya apabila sudah berada di peringkat baitul muslim, masa semakin terhad. 

Jadi, ya. I'm not single. I'm married....

I'm married to books.....Ahaa...

Em...Buyiknya macam...


Makanya, sekian sahaja catatan kali ini. Sekadar berkongsi pandangan. Siapkan diri menjadi insan yang baik dan insyaaAllah Allah akan datangkan orang  yang baik-baik juga. Aku masih ingat kata-kata seorang cikgu sewaktu di sekolah menengah dahulu

"Cinta itu ibarat rama-rama. Makin dikejar, makin ia pergi jauh. 
Namun jika dibiarkan, ia akan datang sendiri"

Ini rama-rama ke daun-daun?


Thursday 12 February 2015

NAMA

Assalamu'alaikum sahabat semuanya.


Aku masih ingat sewaktu di bangku sekolah, perasaan apabila namaku dipanggil oleh guru, seolah diri ini begitu berharga.

Saya cikgu!

Eh. Maksudku, terasa dihargai oleh guru, meski aku bukanlah pelajar pintar cerdas. Begitu juga sewaktu di sekolah menengah. Benarlah seperti yang ku pelajari, salah satu cara mewujudkan hubungan mesra antara guru dan murid adalah dengan mengingat nama-nama mereka.  Tapi, er....aku bukanlah seorang yang mudah mengingat nama orang. Macam mana tu?

"Children don't care how much you know, untill they know how much you care" (John Maxwell) 

Pernah suatu ketika, kampusku di hadiri oleh Dr. Lee Boon Hua, Timbalan Rektor IPGM. Beliau telah berkongsi tips bagi mengingat nama-nama pelajar. Katanya, cuba ingat nama murid yang berada di setiap empat penjuru kelas.



Selain itu, aku turut mendapatkan tips mengingat nama daripada buku karangan Tony Buzan 'Use Your Memory '. 


Terdapat dua kaedah bagi menginagt nama dan muka orang. Menurut Buzan, Dua cara tersebut adalah Kaedah Sosial Etika Buzan dan Kaedah Mnemonik. Aku lebih tertarik unuk menggunakan kaedah mnemonik kerana ia sesuai bagi para guru untuk mengingat nama para muridnya.

Kaedah Mnemonik
1.       Make sure you have a clear mental image of the person’s name
2.       Make sure you can actually ‘hear again ‘ the sound of the person’s  name
3.       Very carefully examine the face of the person to whom you are being introduced, noting in detail the characteristic of the person’s head, hair, forehead, eyebrows, eyelashes, eye, nose, cheeckbones,  ears, lips, chin and skin
4.       Look for facial characteristics that are unusual, extraordinary or unique
5.       Mentally reconstruct the persons face, using your imagination in the way that a cartoonist does to exaggerate any noteworthy features
6.   Associate , using your imagination , exaggeration and the general Memory Principles, any outstanding features with the name of the person.


Sekian untuk kali ini. Semoga bermanfaat ya.


Friday 6 February 2015

Ish, gelojohnya.. (*tepuk dahi)

Assalamu'alaikum semua,
semoga sahabat semua sentiasa di bawah lindungan dan rahmat Allah.
Kali ini suka untuk aku berkongsi cerita dengan kalian. Kisah seorang yang gelojoh.

~*******~

Pada suatu masa yang tidak jauh dari masa kini, ada seorang gadis yang hidupnya sentiasa dalam 'zon selesa'. Bersekolah di sekolah agama, keluarganya mengamalkan agama dan dikelilingi sahabat-sahabat yang meski sedikit 'nakal' namun masih mematuhi syariat agama. Cuti persekolahan semakin hampir dan gadis tersebut mula merangka pelbagai aktiviti yang bakal diisi sepanjang tempoh menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. Namun, semua harapannya musnah bak ayam yang disiat-siat untuk dimakan bersama soto. Eh.
Dia terpilih untuk menyertai Kem Latihan Khidmat Negara.

Gadis tersebut mula bingung. Dia hampir tidak pernah berinteraksi dengan pelajar lelaki. Kelasnya di sekolah sedari tingkatan satu hingga tingkatan lima hanya terdiri daripada pelajar perempuan sahaja. Ah sudah. Dalam kebingungan dia cuba untuk menenteramkan hati. Siri satu lazimnya disertai oleh pelajar baik-baik atau pelajar dari sekolah agama. Namun harapannya meleset. Tidak mustahil dalam setandan pisang ada satu dua yang rosak bukan? (Uiseh berpepatah pulakk) 

 Suatu perkara yang amat disyukurinya ialah kem tersebut amat menitikberatkan soal agama. Kerana perwatakannya yang bertudung labuh menjadikan dia geng surau di kem tersebut. Justeru, kerja menanda kehadiran peserta untuk solat lima waktu menjadi salah satu tanggungjawabnya. Disangkanya mudah, namun dia mengalami sedikit kejutan budaya apabila mendapati wujud perserta yang seolah dengan sengaja meninggalkan solat. Sehingga suatu masa dia hilang sabar, dan suatu hari gadis itu dalam keadaan marah menengking Lola, seorang peserta yang tidak bersolat. Adakah Lola berubah? Pastinya tidak, setelah dimalukan sebegitu di dalam surau.  

Kejadian itu memberi impak padanya. Dia mula kenal dunia. Dia tidak lagi tinggal dalam zon selesanya. Pada ketika itulah dia mula belajar untuk mengenali perwatakan orang disekelilingnya. Pada ketika itu dia mula sedar pentingnya mengetahui strategi mengajak manusia melakukan kebaikan. Kerana sikap gelojoh tidak menyumbang ke arah kebaikan, bahkan berisiko menjauhkan insan dari mengenal Tuhan. 

~**********~


Eh, lap hingus dengan air mata tu. Ending nya tiada siapa yang meninggal dunia dalam kisah di atas ya. Cuma ada yang meninggalkan sikapnya yang negatif. Berubah ke arah lebih baik insyaaALLAH. Kisah yang aku kongsi di atas mungkin pernah terjadi dalam hidup kalian bukan? Samada kalian di tempat gadis tersebut atau di tempat Lola. Ya, menjadi da'e yang gelojoh bukan caranya. 

Mungkin ada yang berpendapat sebaliknya. Namun, pada hemat aku, mengajak manusia melakukan kebaikan itu perlu kekuatan. Dan apabila ada kekuatan, perlu ada hikmah. Apa yang menyedihkan aku, tidak kurang di luar sana yang bersikap gelojoh. Tiada hikmah. Menegur tidak kena cara. Sememangnya kita inginkan hasil segera. Semua nak segera. Mi segera, bubur segera, hatta nak orang berubah menjadi baik dengan segera setelah ditegur oleh kita. Ceh. Macam kita pula yang berkuasa pegang hati mereka.

Kerana itu, aku, insan yang banyak kelemahan ini, lebih mendahulukan doa dalam mengajak manusia buat baik. Kerana doa itu senjata mukmin bukan? Adakah Allah akan menolak permintaan seorang hamba yang mendoakan kebaikan terhadap hamba-Nya yang lain? Sementara berdoa, mula susun strategi untuk mengajak ke arah kebaikan. Prosesnya mungkin lama dan menyesakkan dada. Penat. Rasa hendak berputus asa. Tetapi lupakah kita, semua yang Allah jadikan melalui suatu proses yang memakan masa.

Bayi di dalam perut melalui pelbagai proses selama sembilan bulan, hingga suatu masa dia menjadi seorang yang memerintah negara. Bahkan kekasih Allah yang mulia, Nabi Muhammad S.A.W melalui proses yang payah dan panjang sebelum berjaya membuka Kota Mekah. Dari diherdik oleh bapa saudaranya sendiri, dibaling batu di thaif, terluka di dalam perang hatta diracuni. Hingga hasilnya kita dapat merasai kemanisan islam di bumi kita berpijak. 

"It's a process that takes time. The longer it takes, the stronger it will be"


Okay, aku bukan menangis, cuma kat sini banyak habuk kot.


Setiap kali memandang saudara-saudara yang masih alpa, masih jauh dari Islam, jangan lupa iringi pandangan kita dengan doa. Dan jangan lupa semak diri kita. Berusaha baiki diri menjadi lebih baik agar tidak terfitnah pula dek peribadi yang cakap tidak serupa bikin. Benar, masanya semakin hampir, namun tiada daya kita menggerakkan hati seorang hamba melainkan dengan izin Sang Khaliq. 

Sebagaimana nasihat Luqman Al Hakim yang telah Allah S.W.T rakamkan dalam surah 31:17
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya."
Benarlah. Sekuat mana keinginan kita untuk melihat seseorang itu berubah menjadi lebih baik, sabarlah menjadi penggubatnya. Kerana kita hanya pemberi peringatan, dan Allah pula pemberi hidayahnya.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Alloh memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Alloh lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (QS Al Qashash: 56).




Yang kita ingat jauh, sudah semakin dekat, 
yang kita ingat tinggi, sudah semakin rendah
awal dan akhir yang selama ini kita menunggu sekarang masanya sudah semakin hampir






Wednesday 4 February 2015

Kapak dah habis ke?

Assalamu'alaikum sahabat-sahabat

Seperti yang kita sedia maklum, sekarang ini cuaca tidak menentu bukan?
Di kampus ku tidak kurang juga yang mengalami kejutan cuaca ini. Ada yang batuk, ada yang selsema, ada juga yang demam. Dan apabila sakit-sakit begini, baru aku sedar bahawasanya begitu banyak ubatan tradisional di pasaran masa kini. Tidak tahu hendak pilih yang mana satu. Ha..tambah pening kepala...




Baiklah, nasihat aku buat diri sendiri terutamanya dan pembaca di kaca laptop mahupun komputer sana, jaga diri ya. Jangan lupa minum air banyak-banyak. Sediakan payung sebelum hujan.
Eh salah. Sediakan payung sebelum demam da...
Jangan lupa juga pada ahli keluarga mahupun rakan-rakan di sekitar anda yang mungkin dalam keadaan tidak sihat. Sekarang ada macam-macam penyakit yang boleh mengakibatkan kematian kalau tidak dirawat segera. 

Sekian untuk kali ini. Fi amanillah!




"Manusia bertanya kepadamu(Muhammad) tentang hari kiamat. Katakanlah, "Ilmu tentang hari kiamat itu hanya di sisi Allah". Dan tahukah engkau boleh jadi hari kiamat itu sudah dekat watunya." (Al-Ahzab:63)

Friday 30 January 2015

K.O MA!

Assalamu'alaikum semua!

Setiap daripada kita pernah menjadi murid dan masih merupakan seorang penuntut ilmu bukan?
dan pastinya kita mempunyai seorang dua guru feveret masing-masing bukan?

Guru feveret ini pastinya bukan guru yang semata-mata makan gaji setiap bulan. Tetapi merekalah guru yang bersungguh-sungguh memastikan kita tidak ketinggalan di dalam kelas. Sentiasa membakar semangat kita agar terus berusaha dalam pelajaran.

 “Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh di jalan Kami niscaya akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan [menuju keridhaan] Kami. Dan sesungguhnya Allah akan bersama dengan orang-orang yang berbuat ihsan.”    (Surah Al-Ankabut: 69)

Sememangnya setiap manusia mempunyai tahap kepintaran yang berbeza-beza. Ada yang cepat dan ada yang lambat memahami sesuatu perkara. Mereka yang lambat memahami sesuatu perkara(slow-learner) seringkali ketinggalan dalam pelajaran. Bergantung kepada tahap keperihatinan seseorang guru itu juga, samada mengadakan aktiviti pemulihan terhadap murid tersebut atau hanya mengabaikannya. Saban hari, murid yang tadinya ketinggalan dalam pelajaran menjadi semakin bingung dan tidak mengerti apa yang diajar oleh gurunya di dalam kelas. Sakitnya bertambah kronik. Lalu dia koma, menunggu titik. Eh, maksud aku, menunggu mati. Mati minatnya daripada mengikuti sesi pelajaran dan pembelajaran. 
"Nak tahu bagaimana hendak kenalpasti murid yang koma ini?" tanya seorang pensyarahku, lantas dia membuat gaya berikut.

Aaaa...


Sebenarnya, apa yang hendak ku sampaikan dalam catatan kali ini adalah berkenaan guru yang berkesan. Menjadi guru yang berkesan bukan mudah bukan? Aku juga tidak tahu apa nasibku sebagai seorang guru kelak. Perlu peka dengan perkembangan para murid. Perlu bijak sana sini bagi menjawab pelbagai persoalan luar alam daripada para murid. Dan perlu sabar dalam melihat perubahan yang berlaku pada anak didik.





Aku pernah membaca sebuah buku karangan Norbi Husin. Kisahnya yang sanggup mengadakan kelas tambahan buat para muridnya begitu mengkagumkan aku. Bukan mudah untuk mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan tiada murid yang keciciran dalam pelajaran. Namun sememangnya guru sebeginilah, bak kata pensyarahku, adalah guru yang berupaya mengubati penyakit kronik murid, dan menyedarkan mereka daripada  koma.  Pendek kata, aktiviti pemulihan sedemikian amat penting dilaksanakan oleh para guru. Lebih-lebih lagi soal agama. Amat penting. Hingga berkali-kali diingatkan oleh para pensyarahku di dalam kuliah. Kerana jika murid yang lemah diabaikan, kemungkian besar mereka menemui pengakhiran yang menyedihkan. Tidak mampu menjadi insan berguna. Hidup ibarat tiada pencipta. 

"A great teacher, is someone who brings out the best in you. Someone you can learn from. Someone you can respect for who they are. Who genuinely cares about your success and growth."


Makanya,
Jom
jadi chigu yang terkesan mengesan de bom!


Ehem. Sedap cakap. Pandai buat ye cik penulis.


Alahai.