Sunday 3 May 2015

Bersangka baik

Assalamu'alaikum sahabat semuannya
Moga sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah.


Tempoh praktikum fasa satu semakin ke penghujungnya.
Satu perkara yang aku pelajari bersama kanak-kanak ribena yang masih suci murni di sekolah itu,
adalah baik sangka.

Selalu sahaja, sebaik keluar daripada kelas setelah sesi PdP, terasa bertambah kedut-kedut di muka. Dada berombak. Ada yang terlupa membawa buku latihan. Ada yang tidak menulis dengan alasan tidak punya pensel. Ada yang tidak menyiapkan kerja rumah dengan alasan terlupa. Aduh....pening kepala.
Ya Allah! Bantulah hamba-Mu..

Namun seperti yang pernah ku kongsikan sebelum ini. Mungkin mereka penyebab ke syurga. Maka sabar. Telan semua. Cari penyelesaiannya. Dan tambah lagi satu perkara, baik sangka.
Suka aku kongsikan dengan kalian kuasa berbaik sangka.



Hari itu, wajahku sukar untuk tersenyum. Semua markah peperiksaan percubaan PMR telah diperolehi. Keputusannya kurang memuaskan. Seperti biasa, gred matapelajaran Matematik dan Sains antara yang terendah. Namun kalam mak menyuntik motivasi dalam diri.
"Tak pa. Mak tau Mardhiah mulanya begini. Nanti bila peperiksaan sebenar mesti boleh dapat lebih cemerlang".
Abah juga sama.
Sangka baik mereka menjadikan aku percaya yang aku mampu lakukan lebih baik. Allhamdulillah sangka baik mereka termakbul jua.



Perkara yang sama, aku terapkan pula empat tahun yang lalu.
Sewaktu aku sedang bergegas ke kuliah bahasa Arab, satu pesanan ringkas kuterima. Isinya menyesakkan dada. Lalu langkah ke dewan kuliah menjadi lemah tak bermaya. Mesej itu menyatakan rayuanku untuk mengikuti program ijazah perguruan di IPG diterima. Saat hati ini sudah mula jatuh cinta dengan biah di sini.
Namun kuasa baik sangka membawa aku di bumi aku berpijak kini. Di jalan ini. 



Makanya kini, perkara yang sama juga harus aku terapkan dalam mendidik murid-murid. Berusaha sedaya upaya berbaik sangka dengan mereka. Bahawa mungkin sahaja kini mereka lupa, nakal, tidak mendengar kata dan banyak kenakalan lain lagi. Tetapi boleh jadi bila mereka dewasa kelak mampu menjadi berkali ganda lebih baik dari masa kini. Bahkan lebih baik dari diri ini.


Sangka baik itu satu doa.
Melalui sangka baik, si pemuda mati dalam perjalanan taubatnya.
Melalui sangka baik, Khadijah menenangkan Rasulullah s.a.w yang dalam ketakutan
Melalui sangka baik, sang Umar menjadi pejuang Islam.
Bahkan mungkin,
melalui sangka baik seseorang di luar sana yang tidak putus mendoakan kita,
telah menyebabkan Allah memberi keizinan untuk kita melakukan kebaikan pada hari ini.

Payah. Memang bukan mudah untuk berbaik sangka. Tetapi mesti ada usaha!
Akhir kalam, berusahalah mencari kebaikan dalam diri seseorang. Keluarkan kebaikan tersebut dengan dorongan dan percaya, suatu hari insyaaAllah pasti bertemu hasilnya.

#catatanomelanuntukdiri
#jadicikgubukansekadarmakangaji

No comments:

Post a Comment